Keperibadian Rama Rama

Rama dipanggil sebagai 'Maryada Purusottama' yang bermaksud manusia yang terbaik yang telah merentasi segala kemungkinan tanpa batasan. Sama ada Rama ialah Tuhan yang menjelma sebagai manusia, atau seorang manusia yang menjadi Tuhan, Rama dalam epik Valmiki ialah seorang yang penuh sifat-sifat manusia. Rama menyayangi, bergembira, bersedih, menjadi marah atau menunjukkan sebarang perasaan sama seperti manusia biasa, Namun, dalam semua perkara ini, Rama telah menunjukkan had atau batasan yang boleh dicapai dan direntasi.

Dalam Ramayana, Maricha, seorang raksasa dan oleh itu, musuh Rama, memuji Rama sebagai 'vigrahavan dharmah (Jelmaan Dharma). Ini menunjukkan kehebatan Rama sebagai penegak Dharma.Hidup Rama ialah suatu gambaran sempurna Dharma. Malah selama beribu-ribu tahun, Rama telah menjadi sama dengan Dharma. Dharma ialah prinsip asas yang menyokong kehidupan dan dunia. Dharma dalam diri sendiri seseorang menjadi suara hatinya. Dharma dalam kehidupan pula menjadi tugas dan kewajiban seseorang. Rama sebagai penegak Dharma, menunjukkan bagaimanakah Dharma boleh diikuti oleh seseorang dalam sebarang situasi.

Sebagai seorang Kshatriya atau pahlawan, Rama mahir dalam seni pertahanan dan peperangan. Baginda juga terkenal sebagai seorang pemanah yang handal dan tiada tandingan. Busur Shiva yang tidak dapat diangkat oleh sesiapapun, terpatah apabila dilentur oleh Rama.

Rama juga seorang yang bijaksana dan mahir dalam pelbagai bidang seperti kesusasteraan, ilmu agama, muzik dan falsafah. Baginda juga mahir dalam seni pertuturan dan komunikasi. Pertuturannya sentiasa lembut, sopan dan kena pada tempatnya.

Namun, Rama tidak pernah sombong atau angkuh akan dirinya. Kebenaran (Satya) dan kebaikan (Dharma) merupakan jiwa raganya. Setiap kata-katanya, adalah janji yang akan dipatuhinya. Sekali Rama berjanji, tidak ada apa-apa yang boleh menghalangnya daripada menunaikan janji itu.

Dasaratha mengumumkan tentang upacara penabalan Rama sebagai putera mahkota. Pada hari upacara penabalan Rama, Dasaratha terpaksa memenuhi janjinya kepada Kaikeyi dengan menabalkan Baratha sebagai putera mahkota dan Rama dibuang negeri selama empat belas tahun. Reaksi Rama ketika menerima kedua-dua berita ini adalah sama! Tidak kira baik atau buruk, Rama tetap tenang dan menerima kedua-duanya sebagai titah ayahandanya. Tanpa sedikit pun sungutan, Rama bersedia meninggalkan kehidupan mewahnya di istana dan bertolak ke hutan sebagai seorang pertapa. Walaupun Dasaratha sendiri meminta Rama untuk mengingkari janjinya, Rama tetap dengan pendiriannya dan berpegang kuat kepada Dharma. Pujukan Baratha untuk kembali ke Ayodhya juga tidak berjaya. Menurut Rama, Dharma ialah sesuatu yang sukar difahami, adakalanya adharma kelihatan seperti Dharma dan sebaliknya. Dalam mengikuti Dharma, seorang harus peka agar dia tidak terpedaya untuk mengikuti kehendak hatinya sendiri bertentangan dengan Dharma.